Nought

    Pintu bilik itu ditutup perlahan. Matanya memandang sekilas ke arah jam di dinding yang menunjukkan pukul 6.30 petang. Beg hitam yang digalasnya sedari tadi diletak di tepi almari. Memandangkan pakaiannya yang dikenakan dari pagi tadi tak ditukar lagi, dia pilih untuk duduk di tepi katil. Hari itu hari yang panjang. Boleh dikira panjang lah juga sepanjang tempoh beberapa bulan yang lepas. Sesekali tubuhnya dilenturkan ke kiri dan ke kanan. Berdetup-detap bunyi sendi. Fuh, penat tak boleh bawa bincang. First time ni berjalan satu hari suntuk selepas sekian lama berkurung dalam rumah. Badannya disandar ke dinding sambil menjulur sebelah kaki. 

    Ruang itu kembali terasa sepi. Cahaya senja dari luar jendela terlihat sayup memancar ke dalam bilik kecil itu. Pandangannya menala ke depan sambil mengeluh perlahan. Tanpa sedar, bayangan gelak ketawanya bersama-sama mereka siang tadi bermain di fikiran. 

    Mengingatkan perkara itu, dia tersenyum kelat. "All those laughters and smiles, and I still feel idiopathically sad." Matanya dipejamkan. Entah kenapa, terlalu sukar untuk dia menterjemahkan perasaannya sejak belakangan ini. Rasa kosong, atau rasa dah terlalu penuh? Makin lama berharap perasaan ni akan pergi juga satu hari nanti, makin lelah rasanya bila cuba berpaut untuk bertahan. 

    Wajahnya kosong. Tanpa sedar, pipinya terasa hangat dibasahi air mata. Bibirnya diketap. Dia menahan nafas, berusaha untuk menghentikan rasa sebak yang terpekung di dada. Tetapi, semakin lama ditahan, semakin laju air matanya turun. Dia menghela nafas berat. Tekaknya terasa perit menahan rasa hiba. Posisinya yang menjulur kaki tadi sudah meringkuk dengan kedua-dua kakinya dirapatkan ke dada. Bahunya terhenjut-henjut menahan sedu agar tidak kedengaran dek orang di luar bilik. Tangis yang sepi itu, hanya Tuhan saja yang tahu sakitnya seperti apa. Dah lah tu. Kedua-dua tangannya berusaha mengelap kedua matanya untuk menghentikan tangisan itu. 


///


Take a deep breath
Until both sides of your heart get numb
Until it hurts a little

-- Lee Hi, Breathe